Detik hitam sejarah pentadbiran negara di bawah rejim BN memulakan babak barunya hari ini apabila puluhan rakyat yang terdiri daripada aktivis politik, peguam dan orang awam ditangkap dan didakwa di mahkamah.
Ketakutan pemerintahan Abdullah Badawi kini berada di kemuncaknya setelah beliau merasa tercabar apabila gelombang kebangkitan rakyat dalam menuntut hak mereka mula dirasai.
Bermula dengan himpunan lebih 132,000 rakyat menuntut pilihanraya bersih dan diikuti oleh himpunan 30,000 penyokong HINDRAF serta perarakan anjuran "Lawyers for Rights of Assembly' , rakyat sudah mulai sedar akan hak mereka yang dirompak serta dinafikan oleh pemerintah kejam yang ingin terus berkuasa. Walaupun media arus perdana rancak memainkan sentimen perkauman dan mengeluarkan kenyataan fitnah yang palsu dan penuh pembohongan, namun kebijaksanaan rakyat sudah terbukti.
Menyedari hakikat ini, kerajaan tiada pilihan lain selain daripada memperkudakan undang-undang dan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan kepada rakyat.
Angkatan Muda Keadilan Selangor mengutuk sekeras-kerasnya dan menganggap penahanan ini sebagai pelanggaran kepada hak asasi manusia.Ini juga menunjukkan sikap pengecut Kerajaan dalam menangani protes rakyat setelah gagal menjawab pelbagai isu yang timbul.Awas, suara rakyat suara keramat.Masa untuk pemerintahan zalim BN sudah sampai ke penghujungnya.Jika benar Pak Lah sudah bersedia dan yakin dengan sokongan rakyat kepada BN, kami cabar pilihanraya diadakan segera.
Penahanan beberapa ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan termasuklah Latheefa Koya, Sivarasa Rasiah (kedua-duanya peguam), N.Gobalakrishnan dan Tian Chua tidak sekali-kali melemahkan dan menakutkan kami.Rakyat akan terus bangun menentang kezaliman. Ini jelas menunjukkan "Operasi Lalang 2" sedang dilaksanakan oleh Kerajaan penakut ini untuk menutup segala teguran dan bangkangan terhadap pemerintahan mereka.