dari keadilanrakyat.org
Khamis, 08 Mac 2007
MK - Mar 8, 07 12:47pm Ketua Penerangan Parti Rakyat Keadilan (PKR), Tian Chua hari ini dikenakan perintah tahanan reman selama dua hari berhubung siasatan tuduhan cubaan membunuh. Majistret Mahkamah Ampang, Nurul Husna Awang membenarkan tahanan reman terhadap Tian yang ditahan semalam kerana didakwa memandu kereta Toyota Camry miliknya merempuh sekatan dan hampir melanggar seorang lelaki di Kampung Berembang, Ampang. “Beliau dikatakan telah memandu keretanya dan melanggar pagar, dan hampir mencederakan seseorang yang berada di belakang pagar itu,” kata peguam Chua, Amer Hamzah di luar Mahkamah Mahkamah Majistret Ampang. Kejadian itu dikatakan berlaku pada jam 11.40 pagi. Pemuda turut ditahan remanKetua Polis Ampang Jaya, ACP Amer Awal memberitahu wartawan semalam bahawa pengadu, seorang pekerja syarikat pemaju, terselamata tanpa sebarang kecederaan selepas melompat dari situ. Pekerja itu membuat laporan polis terhadap Chua, yang kemudiannya ditangkap. Chua disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman 10 hingga 20 tahun penjara jika didapati bersalah.
Polis turut mendapatkan perintahan reman yang sama terhadap seorang penduduk Kampung Berembang yang berusia 24 tahun. Menurut Amer, pemuda itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalangkan kakitangan kerajaan menjalankan tugas mereka, yang boleh dihukum denda sehingga RM1,000 dan sehingga tiga bulan penjara atau kedua-duanya. Katanya, pemuda itu juga didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana “tindakan menghina” yang boleh dihukum denda sehingga RM100. Ada kepentingan
Amer berkata, kedua-duanya ditahan semalaman oleh polis dan tempoh itu, menurutnya, sudah mencukupi untuk menjalankan siasatan jika ia dijalankan dengan baik. Peguam Latheefa Koya yang mewakili Chua berkata, salah satu alasan polis untuk menahan reman Chua ialah Chua diperlukan untuk kawat cam bagi menentukan beliau yang memandu kereta itu sewaktu kejadian tersebut. “Ini menunjukkan pihak polis telah membuat tangkapan sebelum siasatan dijalankan [...] ini bermakna polis tidak tahu siapakah yang dimaksudkan oleh (orang yang membuat laporan polis terhadap Chua). “Tindakan polis (menahan Chua) itu adalah bias dan menyebelahi pihak pemaju,” kata Latheefa, sambil menambah, pemaju tersebut mempunyai kepentingan dan itulah sebabnya Chua mesti ditahan. Chua berada di Kampung Berembang untuk memberi sokongan kepada para penduduk yang enggan berpindah dari rumah mereka kerana mendakwa tidak diberi layanan yang adil oleh pihak pemaju dan pemilik tanah tersebut.
Penyokong berkumpulKedua-dua peguam tersebut kini dalam proses mendapatkan laporan polis terhadap pelanggan mereka itu. Kira-kira 50 penyokong berkumpul di Mahkamah Majistret Ampang hari ini dengan membawa poster yang menuntut supaya Chua dibebaskan. Pihak polis bagaimanapun sempat membawa keluar Chua dan pemuda tersebut tanpa disedari oleh para jurugambar media. Manakala penyokong dan ahli PKR juga berkumpul di balai polis Ampang Jaya malam tadi, tempat Chua ditahan.
100 orang berkumpul di depan balai Ampang Jaya
MK - Muda Mohd Noor Mar 8, 07 12:35pm
Kira-kira 100 penyokong dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya malam tadi kerana membantah penahanan Ketua Penerangan PKR, Tian Chua.Mereka termasuk Ketua Penerangan PKR Selangor, Abdul Razak Ismail; Ketua PKR bahagian Bukit Bintang, Puspa Lingam dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arulchelvam. Mereka menyalakan lilin dan melaungkan `Reformasi’ mulai jam 9.30 malam hingga 11 malam tadi. Tian Chua dan lima orang lagi, termasuk tiga penduduk Kampung Berembang, ditahan ketika cuba menghalang pihak pemaju daripada merobohkan rumah di kawasan tersebut. Mreka dibawa ke balai polis Ulu Klang di Taman Sri Keramat dan ke balai polis Ampang Jaya di Taman Dagang. Ketika ditemui, Puspa berkata, mereka berhimpun kerana membantah tindakan polis menahan Tian Chua yang didakwanya dibuat secara tidak adil. “Kami cuba mendapatkan maklumat dari pihak polis mengenai penahanan tersebut tetapi polis enggan bekerjasama,” katanya. Laporan polis Sebelum itu, Abdul Razak membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Balai Ampang Jaya, Cif Inspektor Marlindo Mohamad dan enam atau tujuh anggota polis lain kerana menyebabkan kecederaan ke atas beliau semasa kejadian di Kampung Berembang. . Dalam laporan tersebut, Abdul Razak berkata, pipi kirinya bengkak, kedua pergelangan dan sikunya luka kerana gari yang terlalu ketat dan dihimpit dengan tangan bergari ke belakang. “Tulang rusuk saya begitu sakit kerana ditendang oleh seorang anggota polis, badan sakit kerana ditindih oleh lima tau enam anggota polis, bibir pecah dan berdarah kerana disepak oleh seorang anggota polis,” katanya. Abdul Razak berkata, beliau cuba menghalang kira-kira 30 hingga 40 pekerja pemaju tersebut yang sedang merobohkan rumah penduduk dan mengasari beberapa penduduk. “Tiga anggota polis memakai jaket kuning telah menolak saya ke tanah dan selepas itu enam atau tujuh anggota polis lain memijak dan menindih dengan begitu kasar,” katanya. Abdul Razak mendakwa, salah seorang anggota polis terbabit menyepak rusuk dan memijak pipi dan tengkuknya, ketika tangannya digari dari belakang. Katanya, beliau diseret oleh lima atau enam anggota polis dan membiarkan beliau berjemur di tengah panas di tepi jalan masuk ke Kampung Berembang. Menurutnya, tidak berapa lama selepas itu beliau telah dibawa ke balai polis Hulu Kelang untuk diambil kenyataan sebelum dibebaskan.
Akhirnya penduduk Kg Berembang tewas...
MK - Yoges Palaniappan Mar 7, 07 7:09pm
Selepas empat bulan bertungkus lumus mempertahankan rumah mereka, akhirnya penduduk Kampung Berembang di Ampang tewas juga hari ini kepada tekanan pihak berkuasa tempatan dan pemaju. Hari ini, pihak pemaju berjaya merobohkan semua rumah di kampung tersebut yang wujud sejak 30 tahun yang lalu. Pemaju dengan bantuan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), akhir membersihkan kawasan itu – yang terletak kurang 10km dari Menara Berkembar – yang sebelum ini didiami oleh kira-kira 470 penduduk. Operasi tersebut bermula jam 8 pagi dan dijalankan oleh pemaju swasta dengan arahan Acmar International, sebuah syarikat tersenarai di bawah Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), pemilik tanah tersebut. Mereka yang menjalankan kerja-kerja meroboh rumah di situ dibantu oleh pasukan polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU). Penduduk, bersama para aktivis daripada kumpulan sokongan akar umbi, Jerit dan gerakan pelajar, Dema, berkumpul di luar rumah untuk menghalangnya daripada dirobohkan. Sepasukan kira-kira 90 anggota polis dan 69 anggota FRU mengawal di situ untuk membolehkan pemaju merobohkan rumah-rumah yang merupakan baki yang belum dirobohkan dalam operasi Isnin lalu. Operasi itu terhenti usementara selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) campurtangan bagi pihak penduduk terbabit. Semalam, rundingan antara pemaju dan penduduk dibatalkan atas arahan kerajaan negeri Selangor. Sebelum ini, kerja merobohkan rumah terbabit dijalankan oleh MPAJ dengan bantuan Rela, polis dan FRU sebanyak empat kali – pada 17, 20, 39 November dan terbaru Isnin lalu – tetapi gagal untuk membersihkan keseluruhan kawasan terbabit. Arahan mahkamah Setiausaha Agung penaja Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan berkata, tindakan merobohkan rumah terbabit membuktikan penyalahguna kuasa oleh pihak berkuasa. “Kita mendapat dua injunksi berasingan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk menentukan masa depan tanah tersebut. Injunksi sebelah pihak itu akan didengar pada 14 Mac ini manakala injunksi sementara akan didengar pada 27 Mei. Sehingga itu, tiada siapa pun yang berhak merobohkan rumah di kampung tersebut. “Dan di sini, kita telah menyaksikan penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis yang membantu pemaju menghalau penduduk dari rumah mereka tanpa menghormati injunksi tersebut,” tambahnya. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Sungai Pinang, Teng Chang Khim, yang juga peguam yang mewakili penduduk terbabit, berkata injunksi tersebut hanya memberi kuasa kepada pemaju untuk menghalang penduduk setinggan membina rumah baru di kawasan itu, dan bukannya untuk merobohkan rumah yang sedia ada. Enam ditahan Menurut Ketua Polis Ampang Jaya, Amer Awal, polis hadir di kawasan itu untuk menjaga keamanan selepas menerima satu laporan daripada PNSB. Turut berada di situ ialah Pengerusi Acmar International yang juga bekas Adun Morib, Datuk Samad Maharuddin. Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai kerja-kerja merobohkan rumah di situ dan sekadar berkata, beliau berada di situ untuk memantau keadaan. Enam orang ditahan hari ini dan dua orang lagi cedera ketika pergelutan berlaku antara penduduk setinggan dengan anggota pihak berkuasa. Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua dan lima orang lagi, termasuk tiga orang penduduk, ditahan ketika cuba menghalang tindakan pemaju merobohkan rumah di kawasan itu pagi ini. Mereka dibawa ke balai polis Ulu Klang di Taman Sri Keramat dan ke balai polis Ampang di Taman Dagang. Menurut kenyataan PKR, mereka mungkin ditahan malam ini dan dihadapkan ke mahkamah pagi esok.
© Parti KeADILan Rakyat 2004-2006Unit IT, Biro Penerangan, Parti Keadilan Rakyat
No comments:
Post a Comment