"TAWAN SELANGOR 2007"

"TAWAN SELANGOR 2007"
"AMK Selangor Teraju Perubahan"

Tuesday, June 12, 2007

BANJIR:Lawatan AMK Selangor

Rabu,12 Jun: Angkatan Muda Keadilan Selangor hari ini menghantar wakil untuk melawat sebuah kawasan banjir di pinggir bandaraya Kuala Lumpur.
Lawatan itu turut disertai Ketua DPP PAS Pusat ,Y.B Salehuddin Ayub,Ketua Wanita KeADILan Pusat Pn. Hjh Zuraida Kamaruddin beserta pimpinan kedua-dua buah parti disertai sebuah badan bukan kerjaan WIRDA yang berpusat di Ampang Jaya.
Lawatan selama kira-kira tiga jam itu turut diserikan dengan pemberian makanan,buah buahan serta bantuan kewangan kepada golongan ibu tunggal serta wanita kurang upaya.Turut diberi buah tangan ialah kanak-kanak.
Dianggarkan kira-kira 100 kelurga berjaya ditemui untuk dihulurkan sumbangan tersebut.
Ketua AMK Bahagian Ampang, Sdr Hamsah Djabir berkata tindakan pantas ini dilakukan untuk menunjukkan keprihatinan parti serta memberi sumbangan yang sekadarnya untuk para penduduk yang terlibat.
Ketika lawatan dijalankan, kebanyakan penduduk sedang membersihkan rumah masing-masing.Kebanyakan penduduk menyatakan ini merupakan kali ke tiga banjir yang serupa berlaku walaupun banyak janji yang ditaburkan.Pelebaran sungai juga tidak memberi kesan yang ketara kerana hanya dilakukan di kawasan tertentu sahaja.
Manakala Puan Hjh Zuraida pula memberi jaminan bahawa beliau akan kembali bersama WIRDA untuk menjalankan program terutama sekali yang melibatkan golongan wanita di kawasan tersebut.

BANJIR:SMART KAH?



Banjir besar melanda Bandaraya Kuala Lumpur lagi.Hujan lebat yang turun sekitar jam 6.00 petang hingga 8.00 malam telah mengakibatkan Bandaraya itu lumpuh kerana banjir kilat yang berlaku.
Paras air naik setinggi lebih 1 meter dan mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit termasuk kenderaan dan premis perniagaan.Ia juga menyaksikan kecederaan serius kepada pengguna jalanraya.
Keadaan ini sangat menyedihkan tatkala Kuala Lumpur dikhabarkan mempunyai sistem pengaliran air yang efisien apabila projek SMART dibina.Namun kenyataan takbur bertahun-tahun itu dilenyapkan oleh hujan lebat yang berlaku cuma sekitar tiga jam sahaja.
Namun si hati batu, Menteri Kerjaraya S.Samy Velu dengan selamba mengumumkan kadar TOL SMART sebanyak RM 2.oo! Pengumuman ini dilakukan tatkala kebanyakan peniaga dan warga Lembah Kelang sedang menyinsing lengan dan berpalit lumpur membersihkan kediaman masing-masing.
Ternyata menteri lapuk ini sangat tidak sensitif dengan keadaan.Beliau dengan cepat menuding jari kepada JPS dan para Kontraktor yang terlibat dengan pelbagai kecaman kilat untuk mengelakkan dirinya terkulat-kulat menjawab kepada rakyat.Oleh itu apakah gunanya SMART ini dibina? Adakah ianya dapat menyelesaikan masalah banjir kilat sekitar Kuala Lumpur? Sama-sama kita tunggu suku terakhir tahun ini, diwaktu peralihan musim yang bakal menyaksikan rintik-rintik hujan menjadi deraian titisan lebat.Adakah sejarah bakal tercipta?




Sunday, May 27, 2007

Pimpinan AMK Pusat 2007-2010



Ketua AMK
Shamsul Iskandar Mohd Akin

Timbalan Ketua
Fariz Musa
Naib Ketua
Khairul Anuar Ahmad Zainuddin
Amirudin Shari
Tan Seng Toh
Exco
Amizudin Ahmad
Ginie Lim Siew Lin
Latheefa Koya
P. Saravanan
Muhammad Gaddafi Kamal
Zara Zahari
Muzaffar Shah Khairuddin
Zulkifli Ibrahim
Abdul Rahman Abdul Hackeem
Mohd Husaif Mohd Jalal
Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad
Jafrien Muhammad
Hj Ramlan Roes
Pajudin Nordin
Faizal Afendi Hussin
Hasmuzair Hassan
K. Gunalan
Tan Wei Wun
Chan Meng Kai
Mohd Najib Onn

Kongres AMK Ke-4,Seremban


Seremban,25 Mei-Kongres Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat untuk kali yang ke empat telah berjaya dirasmikan di Dewan Sekolah Cina Chung Hwa,oleh Timbalan Presiden Dr Syed Hussin Ali.
Seramai kira-kira 1500 perwakilan dan permerhati AMK termasuk sayap wanita telah menghadiri upacara perasmian tersebut.
Negeri Selangor mencatatkan jumlah kehadiran perwakilan dan pemerhati termasuk Skuad AMK yang sangat membanggakan.
Dalam ucapan perasmiannya, Dr Syed Hussin Ali telah menyentuh soal disiplin dan perkembangan parti.Menurut beliau sayap AMK & Wanita akan terus lebih progresif dan diterima rakyat jika tahap disiplin dikalangan ahli parti diteguhkan.
Walaubagaimanapun perjalanan kongres pada hari tersebut agak memanaskan hati para perwakilan dan pemerhati apabila proses pemilihan jawatan-jawatan dalam AMK telah tertangguh selama lebih 3 jam dari waktu yang sepatutnya.Walau bagaimanapun tindakan bijak pengerusi tetap AMK Sdr Romli telah menyelamatkan keadaan.
Ucapan Pemangku Ketua AMK, Sdr Samsul Iskandar telah menyatakan satu misi yang jelas.Bertemakan Daripada harapan Kepada Kemenangan',ucapan beliau membei keyakinan kepada hadirin bahawa selepas daripada kongres ini,barisan AMK akan lebih berbisa dan menyengat untuk memberi impak yang hebat kepada arus perdana politik Malaysia.Bukan sekadar menjadi parti politik nyamuk atau pengacau tetapi berperanan penting dalam mencorakkan perubahan demi kemakmuran rakyat Malaysia berbilang kaum.
Walaubagaimanapun, rata-rata perwakilan menyatakan standard perjalanan kongres AMK kali ini bukanlah yang terbaik dan banyak lagi ruang untuk diperbaiki.Dari penyediaan dewan yang terlalu besar (menampakkan kelopongan ketara) hinggalah soal penyediaan ruang makan yang selesa dan sebagainya.
Namun begitu segala kekurangan itu menambahkan asam garam perjuangan parti politik pembangkang dalam sebuah negara jakun seperi Malaysia ini.Rata-rata perwakilan masih menunjukkan semangat yang tinggi dan memahami segala kekurangan yang berlaku.Lawan Tetap lawan!

Wednesday, May 16, 2007

Cukuplah,Biadap!

Mungkin tajuk di atas agak kasar dan keras.Tetapi saya tidak dapat menahan amarah di hati apabila membaca laporan parlimen sepanjang minggu lalu.Walaupun memang dua orang ahli parlimen BN dari Jasin & Kinabatangan tersebut sudah terkenal dengan kelancangan mulut mereka dan kualiti perbahasan yang sangat memalukan, tetapi kenyataan balas mereka kepada Ahli Parlimen, Fong Po Kuan telah meletakkan taraf mereka ke paras yang paling rendah.Mereka marah kepada pertanyaan AP dari DAP tersebut berkenaan soal kebocoran bumbung di parlimen lantas berkata " mana ada bocor,Batu Gajah pun bocor tiap-tiap bulan".
Namun seperti biasa,mereka seolah-olah kebal dengan sebarang tindakan hanya kerana mereka merupakan ahli Backbencher's Club BN.Menteri wanita dari BN juga kelu seribu bahasa di dalam bangunan parlimen dan hanya mengeluarkan kenyataan dua hari selepas kejadian.

Nyata AP Jasin & Kinabatangan ini tidak langsung menghargai peranan dan undi para wanita yang mereka perolehi dalam PRU ke 11 yang lalu.

Angkatan Muda Selangor mendesak supaya kelancangan kedua-dua ahli parlimen ini diambil tidakan tegas dan mereka perlu memohon maaf secara terbuka kepada para wanita terutama sekali ibu,kakak,adik dan anak-anak perempuan mereka terlebih dahulu!

Thursday, May 10, 2007

Menari:Penjelasan Anwar

Dato' Seri Anwar Ibrahim kecewa dengan tindakan tidak professional dan keterlaluan yang dilakukan oleh media elektronik di Malaysia terutamanya RTM dan TV3 yang memanipulasi dan mempermainkan isu tarian beliau dalam pilihanraya kecil DUN Ijok baru-baru ini.Anwar menjelaskan bahawa pada waktu itu beliau tiba untuk berkempen di sebuah majlis dalam kawasan masyarakat India dan disambut dengan paluan muzik etnik tersebut.

"Saya menari tak sampai seminit tetapi RTM melalui Menterinya telah memanjangkan dan mengulang-ulang klip video tersebut".Anwar juga mengecam tindakan Zainuddin Maidin yang selama ini jelas sikapnya menghentam islam tetapi cuba menjadi hero dengan memburukkan beliau serta mempersoalkan peribadinya sebagai bekas pemimpin tertinggi ABIM suatu ketika dahulu.Jelas perbutan tersebut berniat jahat dan cuba menjatuhkan peribadi Anwar sebagai pemimpin yang disegani rakyat.
"Adakah salah jika saya meraikan salah satu elemen dalam budaya masyarakat India? Adakah saya menjadi bukan Islam dengan menari selama tak sampai 1 minit?" tanya Anwar lagi.
Justeru Anwar mencabar Zainuddin Maidin jika benar dia ingin mempertahankan Islam sila beri penjelasan kepada penonton RTM apakah pandangannya mengenai rasuah,pembunuhan kejam,mencuri wang rakyat,memeluk artis terkenal dan sebagainya.
"Tetapi jika mereka mengharapkan saya bertindak defensive dan bernada apologetic maka mereka silap.Saya tidak akan berbuat demikian" jelas Anwar lagi.

IJOK:Pemimpin BN Ketinggalan Arus

"Jika benar keADILan akan berkubur dan Anwar Ibrahim tidak terpakai lagi dalam arena politik tanah air,tentu pimpinan UMNO sedang ketinggalan arus".Begitulah antara bait kata yang diungkap oleh Anwar Ibrahim ketika berucap penuh semangat di hadapan kira-kira 5 ribu penyokongnya yang membanjiri Dewan Fadzil Noor di Taman Melewar baru-baru ini.Sambutan hebat yang ditunjukkan rakyat prihatin itu saling tidak tumpah seperti yang berlaku sekitar tahun 1999 di mana dari jauh lagi kelihatan kereta-kereta diparkir dibahu-bahu jalan dan limpahan orang ramai membanjiri sehingga ke luar dewan.

Dalam ceramah yang turut menampilkan Naib Presiden Azmin Ali,bekas calon Ijok Tan Sri Abd Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa itu, turut kelihatan ramai wartawan dari media asing termasuk Asahi Shimbun dari Jepun.Menurut Anwar Ibrahim, majlis perisytiharan tersebut disiarkan ke seluruh pelusuk dunia dan mengigatkan pemimpin BN bahawa gelagat dan penipuan mereka sedang diperhatikan masyarakat antarabangsa.

Anwar juga menyelar Samy Vellu yang mencabarnya bertanding di mana-mana kawasan parlimen sebagai cabaran kosong yang tidak bermakna.Ini kerana Anwar masih belum dibenarkan bertanding dalam pilihanraya sehingga April 2008.Menurutnya lagi,KeADILan akan meletakkan calon Dato' Nallakaruppan bagi menentang Samy Vellu di Sungai Siput pada PRU 12 kelak.Tempelak Anwar terhadap Samy Vellu juga semakin lantang apabila menyoalkan kebanggaan Samy Vellu yang mendakwa sokongan masyarakat India masih padu di bawah kepimpinan MIC.Amarah Anwar tidak terbendung kerana beliau melihat sendiri apa yang dibanggakan Presiden MIC itu sebenarnya ialah golongan masyarakat India yang tertindas seperti warganegara kelas ke tiga yang dilayan sebagai hamba.Mereka tinggal dalam gerobok usang dan undi yang diberikan kepada MIC ialah kerana ketakutan dan ancaman ,bukan kerana pembelaan MIC terhadap mereka."Yang melayan kaum India dengan sebegini teruk dan buruk ialah kamu (Samy Vellu),bukan saya,bukan kami!" demikian tegas Anwar.

Akhirnya majlis itu mengisytiharkan perpaduan semakin kukuh antara keADILan,PAS dan DAP yang dibuktikan melalui kerjasama padu dalam pilihanraya kecil di Ijok tersebut.Ijok juga sebagai batu loncatan untuk melonjak semangat rakyat dalam mengesahkan penipuan SPR dan BN yang terang-terangan berlaku.Tan Sri Khalid juga telah disiytiharkan sebagai pemenang sebenar PRK Ijok berdasarkan fakta-fakta dan bukti penipuan yang dapat dikumpul oleh JPRP.